Khamis, 6 Jun 2019 | 10:00pm
PEMAIN pasukan Timor Leste giat menjalani sesi latihan peringkat akhir menjelang aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Harimau Malaya esok, di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Timor Leste bukan pasukan cap ayam - Freitas

KUALA LUMPUR: Sekalipun Malaysia mengatasi Timor Leste sebanyak 27 anak tangga dalam kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun itu bukanlah bermakna Timor Leste adalah pasukan ‘cap ayam’.

Gagal meraih kemenangan dalam empat pertemuan menentang skuad Harimau Malaya sebelum ini, namun negara ‘Samba Kecil’ itu kini bukanlah negara sama yang pernah dikalahkan oleh pasukan negara sebelum ini.

Jelas kaptennya, Joao Pedro da Silva Freitas, mereka tampil dengan lebih baik selepas mendapat banyak pendedahan susulan beraksi dalam saingan liga domestik yang ditubuhkan dua tahun lalu.

“Dengan adanya saingan liga domestik, piawaian bola sepak di sini dapat ditingkatkan dan sepanjang dua tahun ini, banyak perkembangan positif yang ditunjukkan pemain di sini.

“Walaupun kecewa kerana terpaksa beraksi bagi aksi kedua di laman lawan kerana peluang kami untuk menang mungkin lebih cerah di sana.

Namun kami akan tetap memberikan yang terbaik untuk kedua dua aksi ini,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia akan bertemu Timor Leste bagi aksi ‘play-off’ Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok dan juga pada 11 Jun.

Sementara itu, pengendali Timor Leste, Norio Tsukitate mengakui dia melakukan analisis terhadap corak permainan Malaysia khususnya pada aksi terakhir pasukan negara bertemu Nepal, Ahad lalu.

“Berdasarkan aksi menentang Nepal, saya melihat Malaysia adalah pasukan sangat berorganisasi dan mengawal sebahagian besar penguasaan bola.

“Malah, mereka memiliki pemain yang hebat di peringkat Asia Tenggara. Fokus utama adalah untuk mengharungi aksi pertama terlebih dahulu sebelum saya memikirkan aksi yang kedua,” katanya.

1739 dibaca
Berita Harian X