Ahad, 9 Jun 2019 | 8:21am
PEMAIN Belgium, Dries Mertens beraksi dalam perlawanan menentang Kazakhstan pada aksi kelayakan Euro 2020 di Brussels. - Foto AFP

Belgium kekal rekod 100 peratus

BRUSSELS: Belgium merakam kemenangan 3-0 ke atas Kazakhstan di Brussels untuk mengekalkan permulaan 100 peratus dalam kempen kelayakan Euro 2020 dan menerajui Kumpulan I.

Gol-gol awal jaringan Dries Mertens dan Timothy Castagne meletakkan Belgium 2-0 di depan selepas 15 minit permainan dan Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga lima minit selepas rehat.

Belgium kini mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan, mengatasi Russia dan Scotland yang masing-masing mengumpul enam mata.

Harapan Scotland untuk mengubah nasib di bawah pengendali baharu Steve Clarke hampir musnah selepas Cyprus menyamakan kedudukan di Hampden Park di Glasgow, tetapi Oliver Burke meledak gol kemenangan pada saat akhir untuk keputusan 2-1.

Scotland mendahului permainan menerusi Andy Robertson tetapi Cyprus memadamkan kelebihan tuan rumah pada minit ke-87 menerusi Ioannis Kousoulos, sebelum tandukan Burke menyelamatkan tuan rumah.

 


PEMAIN Belgium, Timothy Castagne (kiri) mengasak pemain Kazakhstan, Yan Vorogovskiy pada aksi kelayakan Euro 2020 di Brussels. - Foto AFP

Scotland memecat Alex McLeish sebagai pengendali selepas tewas kepada Kazakhstan dan menang tipis ke atas San Marino pada dua perlawanan pertama kempen pada Mac.

Sebelum itu Russia merekodkan kemenangan terbesar selepas Artem Dzyuba meledak empat gol ketika membelasah San Marino 9-0 di Saransk, salah satu venue final Piala Dunia tahun lalu.

Russia mendahului 4-0 pada babak pertama dengan dua gol sendiri oleh pemain 20 tahun Michele Cevoli, dan jaringan penalti Dzyuba serta Fyodor Kudryashov.

Di babak kedua Dzyuba menambah tiga gol dan Fyodor Smolov menyumbang dua gol.

Kazakhstan akan melayan kunjungan San Marino Selasa ini, Scotland bertandang ke Belgium dan Cyprus beraksi di laman Russia. – REUTERS

 


PEMAIN Belgium, Romelu Lukaku (dua dari kiri) diasak pemain Kazakhstan pada aksi kelayakan Euro 2020 di Bruseels. - Foto AFP

Berita Harian X