Isnin, 10 Jun 2019 | 8:53pm
KETUA jurulatih Timor-Leste, Norio Tsukitate. NSTP/Aziah Azmee

'Pemain lebih minat berbelanja, beli kasut baharu di Malaysia'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan bola sepak Timor Leste, Norio Tsukitate percaya negara itu yang kini menduduki ranking ke-195 dunia perlu mempertingkatkan liga domestiknya untuk bersaing dengan pasukan atasan di rantau ini.

Warga Jepun berusia 59 tahun itu berkata pasukan kebangsaan seperti Thailand, Vietnam dan Malaysia meningkat kebanyakannya kerana kewujudan liga tempatan yang baik.

“Sudah tentu ianya memerlukan duit, jurulatih dan kemudahan. Jika Timor Leste boleh mengubah keadaan (liga) domestiknya, kami boleh menjadi pasukan kebangsaan yang kuat,” katanya dalam sidang media praperlawanan kedua menentang Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jumaat lalu pasukan bimbingannya tewas 1-7 kepada pasukan Malaysia yang menduduki ranking ke-168 dunia, dalam saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Norio berkata peluang pasukannya mara dalam kejohanan itu hampir tiada tetapi beliau mahukan anak buahnya mempertingkatkan persembahan mereka dalam perlawanan kedua di stadium yang sama esok.

Katanya, beberapa pemainnya demam selsema dan batuk-batuk tetapi berharap mereka akan beraksi dengan lebih baik.

Beliau turut mengakui ada pemain muda skuadnya tidak sedar mengenai kepentingan kejohanan itu kerana mereka lebih berminat membeli-belah dan membeli kasut baharu sebaik tiba di Malaysia.

“Ini adalah mentaliti yang tidak bagus. Sekarang mereka memahami kepentingan perlawanan ini. Kini mereka belajar daripada pengalaman untuk Sukan SEA dan lain-lain kejohanan,” katanya.

Jumaat lalu, Norio berkata beliau terpaksa membawa pemain muda berusia antara 18 hingga 20 tahun untuk kempen kali ini, kerana kebanyakan pemain senior tidak cukup cergas akibat kurang latihan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Sementara itu, Kapten Timor Leste, Joao Pedro Da Silva Freitas, 18, yang menjaringkan gol sagu hati buat pasukannya berkata beliau ingin menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan kedua jika berpeluang.

“Memang semua penyerang mahu mencetak (menjaringkan) gol, tapi buat masa ini saya lebih utamakan bagaimana kami akan beraksi sebagai satu pasukan menentang Malaysia. Kalau ada peluang, saya akan jaringkan gol.

“Sebagai kapten, saya harus beri motivasi kepada rakan sepasukan. Walaupun kami kalah pada aksi pertama, kami akan bermain sebaik mungkin demi Timor Leste, esok. Kami masih yakin, tetapi agak sukar kerana jurang jaringan yang besar,” kata Pedro yang fasih berbahasa Melayu.

-- BERNAMA

9035 dibaca
Berita Harian X