Khamis, 13 Jun 2019 | 12:25pm
AKHYAR Rashid

Akhyar perlu buang mentaliti 'supersub'

KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad kebangsaan, Akhyar Rashid tidak perlu hanya menganggap dirinya sebagai pemain 'supersub' bagi Harimau Malaya.

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya bahawa bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bakal menjadi antara pemain penting dalam skuad akan datang berdasarkan potensi yang dimilikinya.

Jelas Cheng Hoe, Akhyar yang baru berusia 20 tahun perlu menggandakan usaha untuk meletakkan prestasinya pada tahap terbaik terutama dari aspek kecergasan.


TAN Cheng Hoe

"Akhyar bermain dengan sangat baik, dia tidak boleh fikir bahawa dia hanya pemain supersub. Bagi masa depan dia fikir yang dia juga boleh berada dalam kesebelasan utama.

"Sudah pasti dia perlu belajar dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk mendapatkan keyakinan. Saya yakin dia bekerja keras untuk sampai ke tahap lebih baik.

"Saya selalu menasihatkan dia dan juga pemain yang lain untuk meningkatkan latihan terutama dalam melakukan latihan tambahan bersama kelab," katanya pada sidang media selepas perlawanan berdepan Timor Leste.

Pada aksi kedua playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu menyaksikan Akhyar disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas kerap masuk sebagai pemain gantian sebelum ini.

Bekas pemain Kedah itu meledak dua gol dalam dua aksi timbal balik berdepan Timor Leste dengan Harimau Malaya mara ke pusingan kedua kelayakan menerusi agregat 12-2.

Walaupun mencatat kemenangan besar, namun Cheng Hoe menegaskan ia bukan jaminan untuk semua 23 pemain dalam skuad semasa Harimau Malaya akan kekal untuk aksi pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung pada September ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan barisan kejurulatihan Harimau Malaya tetap akan meneruskan pemantauan terhadap prestasi semua pemain dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Kami tahu September nanti kami akan jumpa pasukan jauh lebih baik seperti Iran, Jepun, Korea Selatan dan Qatar. Jadi pemain perlu bersedia hadapi segala tekanan," katanya.

1485 dibaca
Berita Harian X