Khamis, 13 Jun 2019 | 7:43pm
PEMAIN Manchester City meraikan kejayaan merangkul trofi Piala FA. 0 Foto Reuters

City mula cabaran di West Ham, United berdepan Chelsea

LONDON: Juara bertahan, Manchester City akan mula mempertahankan gelaran Liga Perdana di West Ham manakala Manchester United akan menanti kehadiran Chelsea dalam pertembungan hebat pada permulaan kempen musim depan dalam jadual dikeluarkan hari ini.

City yakin akan memulakan musim dengan baik selepas menjaringkan empat gol dalam setiap tiga kunjungan terakhir ke Stadium London namun akan berdepan saingan lebih mencabar apabila finalis Liga Juara-Juara, Tottenham Hotspur melawat Etihad pada minggu kedua.

Naib juara liga yang juga pemenang Liga Juara-Juara, Liverpool akan memulakan saingan berdepan pasukan baharu naik taraf, Norwich.

Dua pasukan teratas musim lalu itu akan bertemu di Anfield pada 9 November dengan perlawanan kedua di Etihad dijadualkan pada 4 April tertakluk kepada pengesahan siaran TV.

Chelsea akan memulakan hidup tanpa pemain berpengaruh, Eden Hazard di Old Trafford dengan United perlu bermula dengan pantas selepas persembahan buruk musim lalu di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Sekembalinya ke liga utama, Aston Villa akan menanti Spurs, manakala Sheffield United akan ke Bournemouth.

City hanya mengatasi Liverpool dengan satu mata musim lalu tetapi tampak akan melalui perlawanan lebih mudah kali ini jika penentuan gelaran berlarutan ke penamat.

Skuad kendalian Pep Guardiola tidak akan berdepan mana-mana pasukan dalam kelompok teratas dalam enam pertemuan terakhir selepas berkunjung ke Liverpool.

Sebaliknya, juara Eropah itu akan berkunjung ke Arsenal dan menanti kehadiran Chelsea sebelum berkunjung ke Newcastle dalam tiga perlawanan terakhir. - AFP

Berita Harian X