Jumaat, 14 Jun 2019 | 11:06pm
PEMAIN Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) menjaringkan gol tunggal perlawanan pada aksi Liga Super menentang PJ City di Stadium MBPJ. NSTP/Mahzir Mat Isa

Perak menang tipis

 

PETALING JAYA: Perak berjaya mengelak daripada merakam keputusan seri buat kali ke-10 musim ini apabila menang tipis 1-0 ke atas PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu kembali menikmati mata penuh selepas gagal meraih kemenangan dalam dua aksi terdahulu sementara PJ City FC tidak dapat bangkit daripada kekalahan 3-0 di tangan PKNS FC sebelum ini.

Pada aksi terbabit, tiada percubaan berbahaya dapat disaksikan dalam tempoh 15 minit pertama apabila permainan lebih banyak berlegar di tengah ketika kedua pasukan masih tercari cari rentak.

Bagaimanapun, Perak terlebih dulu memperoleh gol pembukaan apabila hantaran Raianderson Da Costa Morais disudahkan dengan kemas oleh Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-18 sekali gus menggamitkan Stadium MBPJ.

Perak hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-40 namun percubaan deras Raianderson ditepis Mohd Muhaimin Mohamad untuk memastikan tuan rumah tidak jauh ketinggalan ketika beberapa sepakan percuma PJ City FC gagal menghasilkan sebarang gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, PJ City FC beroleh peluang keemasan menyamakan kedudukan apabila hantaran Washington Brandao Dos Santos menemui Safee Sali namun percubaan Safee dikeluarkan Amirul Azhan Aznan di atas garisan gol pada minit ke-59 sebelum percubaan Washington menggegar tiang tiga minit berselang.

Misi PJ City FC untuk memburu gol penyamaan terbantut selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kaptennya, S Subramaniam dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diperintahkan keluar padang susulan mengasari Raianderson pada minit ke-65.

Kelebihan terbabit dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perak untuk mendominasi baki 25 minit permainan namun kegagalan menyudahkan beberapa peluang menyaksikan mereka buntu bagi mendapatkan gol kedua.

Bagaimanapun, Perak nyaris kehilangan mata penuh ketika perlawanan memasuki hujung permainan apabila Barath Kumar melepasi kawalan pertahanan pelawat namun percubaannya tepat ke arah penjaga gol, Muhd Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Berita Harian X