Sabtu, 15 Jun 2019 | 1:28pm
Pemain PKNP FC, Giancarlo Rodrigues (kiri) cuba melepasi pemain JDT, Corbin Ong pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - NSTP/Effendy Rashid
Pemain PKNP FC, Giancarlo Rodrigues (kiri) cuba melepasi pemain JDT, Corbin Ong pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - NSTP/Effendy Rashid

PKNP FC bangga ikat JDT

MANJUNG: Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim bangga selepas mengikat 1-1 pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi sambil menyifatkan ia sebagai keputusan yang baik untuk pasukannya.

Jelas Abu Bakar, setiap mata adalah sangat penting untuk pasukannya dalam perlawanan yang masih berbaki enam perlawanan.

"Saya dapat lihat kesungguhan dan komitmen tinggi setiap pemain pada perlawanan malam ini serta saya rasa pemain juga sudah faham hala tuju pasukan.

"Bagi saya satu mata dengan JDT bukan mudah, cuma pada malam ini kita dapat mengekang dan hampir boleh mendahului untuk pasukan PKNP FC," katanya pada sidang media, malam tadi.

Abu Bakar berkata, perlawanan itu juga membuktikan pasukannya tidak gentar bertemu dengan JDT termasuk mempamerkan aksi terbaik dengan melakukan asakan ke gawang lawan dan menghalang skuad Harimau Selatan itu menambah jaringan gol.

"Saya rasa pemain saya tidak takut memberi tekanan untuk mencabar nama besar, pasukan JDT dan untuk satu mata bagi saya ia keputusan yang baik untuk PKNP FC.

“Kita bermain dengan aksi terbaik untuk (cuba) menyaingi JDT dan malam ini kita dengan sedikit tuah menyebelahi PKNP FC (keputusan seri) dan saya berharap momentum ini dapat dikekalkan untuk kita bertemu pasukan seterusnya nanti,” katanya.

Katanya, kemasukan dua pemain pinjaman dari Perak, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dan Nazirul Afif Ibrahim berkesan di benteng pertahanan PKNP FC.

“Kami juga dihadiahkan sepakan penalti untuk mendahului pihak lawan namun sepakan itu gagal. Saya rasa kami tidak bernasib baik dalam perlawanan malam ini dan hanya memperolehi satu mata.

"Kami cipta banyak peluang untuk jaringkan gol dan saya gembira dengan pemain biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, kita tidak mudah menyerah kalah," katanya. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X