Selasa, 18 Jun 2019 | 10:15am
BIBI Ramjani Ilias Khan

Piya tak faham kontrak - Bibi Ramjani

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan meminta Mohd Badhri Radzi memahami kandungan kontrak ditandatangani terlebih dulu sebelum bertindak menyalahkan persatuan itu.

Ia susulan Badhri atau Piya mendakwa KAFA meletakkan syarat bahawa dia tidak boleh membuat tuntutan tunggakan dua bulan gaji bagi musim ini jika mahu mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Namun, Bibi menjelaskan, kontrak ditandatangani sebelum ini mengandungi klausa menyatakan bekas kapten The Red Warriors (TRW) itu tidak boleh membuat sebarang tuntutan terhadap KAFA.

"Terdapat klausa tambahan dalam kontrak Piya bahawa pembayaran gaji akan dibuat oleh KRW Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn Bhd.

"Ia termasuk juga tunggakan yang mana MyInspiration Sdn Bhd sanggup bayar kepada dia. Jadi, sepatutnya sebelum menyalahkan KAFA, Piya kena tengok apa yang dia tandatangani sebelum ini.

"Berdasarkan klausa itu Piya tidak berhak membuat tuntutan gaji atau tunggakan dengan KAFA. Kalau diikutkan, kita ambil dia pun sebab tidak mahu melanggar perjanjian dengan KRW Sdn Bhd sebelum ini.

"Sebab itu kita masukkan klausa tambahan itu kerana bimbang perkara ini terjadi. Kita tidak mahu orang lain yang ambil dia, tapi sampai masa KAFA yang menanggung," kata Bibi kepada BH Sukan, semalam.

Berdasarkan kontrak ditandatangani Piya pada Mac lalu, KRW Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn Bhd didakwa bersetuju membayar gaji Piya beserta jumlah tambahan RM10,000 sebulan sebagai langkah menyelesaikan tunggakan sebelum ini.

Malah, jika melihat kepada klausa itu, timbul juga persoalan adakah tuntutan Piya yang dikatakan berjumlah lebih RM200,000 sebelum ini 'hangus' begitu saja selepas Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn Bhd, Fazli Mohammed meletakkan jawatan pada April lalu.

Berita Harian X