Selasa, 18 Jun 2019 | 1:46pm
PEMAIN PSG, Neymar.
PEMAIN PSG, Neymar.

'Siapa tak mahu Neymar'

LONDON: Luis Suarez mengalu-alukan kepulangan semula Neymar ke Barcelona dan mengimbas gandingannya bersama bintang Brazil itu dan Lionel Messi sebagai terbaik dalam kariernya.

Neymar, 27, dikaitkan dengan kepulangan semula ke Nou Camp, dua tahun selepas membuat kejutan dengan menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai mega €222 juta (RM1.04 bilion).

Menurut Globo Esporte, Barca mungkin membayar €100 juta (RM469.99 juta) untuk membawa semula penyerang itu kembali ke Nou Camp, lokasi dia menghabiskan empat musim dengan perjanjian turut membabitkan Ousmane Dembele, Ivan Rakitic atau Samuel Umtiti.

Secara keseluruhan, Neymar membuat 186 penampilan bersama Barca dan meledak 105 gol serta memenangi lapan trofi bersama Suarez dan Messi termasuk memenangi treble pada musim 2014-15.

“Satu penghargaan untuk memenuhi salah satu detik terbaik saya sebagai pemain bola sepak di Barcelona adalah berada di samping pemain terbaik dunia Messi dan kedua terbaik di dunia Nemyar,” kata Suarez.

“Bagi saya, ia adalah salah satu tempoh terbaik dalam hidup saya, memenangi treble. Siapa yang tidak mahu memiliki pemain seperti Neymar? Tetapi dia milik PSG dan inilah perkara yang sering dibincangkan ketika perpindahan.”

Rakan sepasukan Suarez di Barca, Arturo Vidal mengakui turut teruja jika berpeluang bekerjasama dengan sensasi Brazil itu yang disifatkan sebagai rakan yang disayangi di bilik persalinan.

“Ia pasti sesuatu yang menarik jika dia mahu pulang (ke Barcelona),” kata Vidal sejurus kemenangan 4-0 Chile ke atas Jepun pada aksi Copa America sekali pun tidak berpeluang bermain di samping Neymar. “Dia memenangi segala-galanya, semua orang menggemarinya di sana.” - AGENSI

Berita Harian X