Selasa, 18 Jun 2019 | 8:59pm
Penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Hadzli cuba mengeluarkan bola dari kawasan pintu gol ketika menentang Kelantan pada saingan liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, petang tadi. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Kelantan ikat JDT II

KOTA BHARU: Kelantan mampu berpuas hati meraih satu mata walaupun sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT II) pada aksi Liga Perdana di  Stadium Sultan Muhammad IV, petang tadi.

Skuad kendalian Ervin Boban mendahului tuan rumah pada minit kelima menerusi sepakan penalti Mohamad Ghaddar selepas Ramadhan Saifullah dikasari pemain pertahanan tuan rumah dalam kawasan penalti.

Selang tiga minit, The Red Warriors (TRW) memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi Imran Samso namun tandukannya sedikit tersasar.

Pada minit ke-31 penyerang import TRW, Seydi L'imam hampir meledak gol penyamaan menerusi tandukan deras namun sempat ditepis keluar penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.

TRW terlepas dua lagi peluang gol apabila sepakan deras Shahrulnizam Ros Hasni dan Nik Azli Nik Alias pada minit ke-38 dan 39 tersasar. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama. 

Pada babak kedua, skuad TRW bermula garang dan berjaya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-55 menerusi Mohamad Azwan Aripin hasil rembatan deras dari jarak 30 meter menewaskan Haziq.

TRW kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-70 namun rembatan deras Nik Azli sekadar singgah di tiang gol walaupun Haziq sudah tertewas. 

715 dibaca
Berita Harian X