Selasa, 18 Jun 2019 | 9:47pm
PENGENDALI Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGENDALI Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Misi wajib menang Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Tiada pilihan lain buat Kuala Lumpur selain wajib mendapatkan tiga mata apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok jika tidak mahu kembali berada dalam zon penyingkiran.

Skuad ibu kota itu hanya dibezakan satu mata dengan zon penyikiran susulan kekalahan 2-1 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Melihat perjalanan liga yang hanya berbaki enam perlawanan lagi, The City Boys kini perlu mengelak daripada terlepas mata penting sekiranya menaruh impian untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

Pengendali Kuala Lumpur Chong Yee Fatt menjelaskan pasukannya akan meneruskan perjuangan dalam usaha memastikan skuad itu tidak jatuh ke Liga Perdana.

"Sudah pasti kami kecewa dengan keputusan ketika berdepan Selangor. Tapi masih ada enam perlawanan lagi dan kami harus teruskan perjuangan,” kata Yee Fatt.

"Semua pemain memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan saya seharusnya memberi kredit kepada mereka. Jadi untuk perlawanan seterusnya (menentang Melaka United) kami perlu beraksi dengan lebih baik," katanya.

Kuala Lumpur mengumpul 14 mata selepas 16 perlawanan, satu mata di depan PKNP yang menghuni tangga ke-11.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X