Rabu, 19 Jun 2019 | 7:09am
MARTA. - Foto Reuters

Marta cipta sejarah penjaring terbanyak Piala Dunia

VALENCIENNES, Perancis: Marta berkata dia mewakili wanita dalam bola sepak selepas menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia lelaki dan wanita hari ini dengan meledak penalti membenam Itali dan memastikan tempat buat Brazil dalam kelompok 16 terakhir di Perancis.

Pemain berusia 33 tahun itu yang dikenali sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak wanita, menyempurnakan penalti pada minit ke-74 berdepan juara Kumpulan C, Itali untuk membawa pasukannya layak dan jaringan Piala Dunia ke-17 selepas Debinha dijatuhkan Elena Linari.

Ia meletakkannya satu gol di depan bekas penyerang Bayern Munich dan Lazio, Miroslav Klose dalam kedudukan sepanjang zaman dan penyerang veteran itu berkata, gol itu lebih daripada kejayaan peribadi.

“Saya rasa sangat gembira, sudah tentu, bukan hanya memecahkan rekod tetapi juga kerana mewakili wanita ketika melakukannya,” katanya.

“Dan kerana ia boleh membantu pasukan saya, itu yang paling penting, layak ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini.”

Bagaimanapun jaringan Marta tidak cukup untuk memastikan tempat kedua buat pasukannya dalam kumpulan kerana jaringan empat gol Sam Kerr ketika Australia menang 4-1 mengatasi Jamaica menyaksikan skuad Matildas mengatasi Brazil menerusi gol ketika ketiga-tiga pasukan menamatkan aksi dengan enam mata.

Ia bermakna mereka akan berdepan sama ada Perancis atau Jerman pada peringkat seterusnya, ujian getir buat pasukan itu yang agak bergelut pada saingan kumpulan. 

“Saya rasa apabila anda bermain dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia, anda tidak boleh memilih siapa anda akan bermain,” kata Marta. - AFP

2284 dibaca
Berita Harian X