Khamis, 20 Jun 2019 | 12:07pm
KIPRE Tchetche

Drogba Ganu mahu fokus baki liga

 

KUALA TERENGGANU: Kekalahan memalukan di tangan juara Piala Malaysia musim lalu, Perak pada Selasa lalu mahu segera dilupakan penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche.

Sebaliknya pemain kelahiran Ivory Coast yang masih mengidam untuk memburu anugerah penjaring terbanyak musim ini biarpun baharu meledak lima gol, mahu memberi fokus kepada saingan Liga Super berbaki lima perlawanan lagi.

Pemain yang digelar `Drogba Ganu’ berusia 32 tahun itu mahu memperbaiki kedudukan dalam saingan liga musim ini pada tahap yang lebih baik berbanding musim lalu apabila berada di tangga kelima liga.

“Kami tidak boleh keciciran mata lagi sebaliknya perlu terus melangkah ke depan serta terus fokus dalam perlawanan akan datang kerana saingan cukup sengit untuk merebut tempat terbaik dalam liga.

“Jika musim lalu kami berada di tempat kelima liga, saingan kali ini kami perlu baiki pencapaian itu untuk berada pada kedudukan lebih baik.

“Kami harap mampu merealisasikan impian itu dan beraksi lebih baik kerana perlawanan hampir ke penghujung dengan berbaki lima perlawanan lagi,” kata bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu sebelum menyarung jersi TFC bermula Jun 2017.

TFC kini berada di tangga ketujuh liga dengan mengumpul 21 mata hasil 17 perlawanan dilihat mempunyai tugasan sukar mengintai kedudukan lebih baik selepas ketinggalan sembilan mata dengan Pahang kini menghuni tangga kedua liga.

Berita Harian X