Jumaat, 21 Jun 2019 | 9:30pm
JURULATIH Ajax Amsterdam, Erik Ten Hag sambung kontrak hingga 2022. - Foto REUTERS
JURULATIH Ajax Amsterdam, Erik Ten Hag sambung kontrak hingga 2022. - Foto REUTERS

Ajax lanjut kontrak Ten Hag

AMSTERDAM: Ajax Amsterdam melanjutkan kontrak jurulatihnya Erik ten Hag sehingga hujung 2022 berikutan kejayaan kelab itu menjuarai gelaran berganda Liga Belanda dan Piala Liga, musim lalu.

Di pentas Eropah, Ten Hag mengemudi Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum tumbang kepada Tottenham.

“Saya amat gembira. Kami memperoleh musim yang baik dan saya mahu membinanya dari situ,” kata Ten Hag dalam laman web kelab.

“Keputusan yang kami peroleh setakat ini menakjubkan dan pasti tugas yang amat sukar untuk mengulanginya. Tetapi kami akan menetapkan sasaran kami dan bersedia untuk mencapainya,” kata pengendali berusia 49 tahun itu.

Kontrak asal Ten Hag dijadual berakhir pada pertengahan 2020.

“Kami memandang ke depan bagi tahun-tahun berikutnya dengan penuh keyakinan,” kata Pengarah Ajax, Marc Overmars. “Kami fikir ia penting selepas musim penuh kejayaan, jurulatih kekal untuk terus berusaha membina kejayaan.

“Ia tidak akan mudah, sudah tentu, kerana beberapa pemain akan keluar tetapi kami berharap untuk menampungnya dengan baik. Erik perlu mencipta pasukan lain yang boleh memberi cabaran dan kami yakin dia mampu melakukannya.”

Ten Hag meraih pujian menggunung selepas skuad kendaliannya mencipta kejutan di Liga Juara-Juara apabila menyingkirkan beberapa kelab gergasi termasuk penyandang juara, Real Madrid dan juara Itali, Juventus. - REUTERS

 

 

Berita Harian X