Rabu, 26 Jun 2019 | 1:51pm
Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. - Foto Ramdzan Masiam
Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. - Foto Ramdzan Masiam

PKNP FC yakin baiki kedudukan liga

SERI MANJUNG: Masih berbaki empat perlawanan, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yakin pasukan itu dapat membaiki kedudukan sekali gus keluar daripada kedudukan dua tercorot Liga Super. 

Jelas Abu Bakar, hasrat itu akan tercapai dengan memberi fokus sepenuhnya dalam empat perlawanan terakhir dalam memastikan pasukannya tidak tersingkir dari Liga Super pada musim depan.

"Kita kena ada keyakinan (untuk keluar daripada kedudukan dua terbawah) dan saya yakin kedudukan berubah dengan memfokuskan baki empat perlawanan lagi. 

"Pemain juga faham tugas mereka untuk memberikan sesuatu kepada pasukan bagi memastikan pasukan berada di kelompok 10 teratas bagi mengelak tersingkir dari Liga Super," katanya pada sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. 

Abu Bakar berkata, saingan antara pasukan yang berada di kedudukan empat terbawah liga juga disifatkan sebagai lebih menarik kerana masing-masing mempunyai peluang lagi. 

Katanya, PKNP FC yang kini berada pada kedudukan kedua tercorot berbaki empat perlawanan iaitu menentang Kedah, Melaka United, FELDA United dan PJ City yang memerlukan fokus yang tinggi untuk mengutip mata bagi menyelamatkan pasukan daripada disingkirkan ke bawah liga.

"Dua perlawanan (sebelum ini) yang begitu kuat dengan JDT dan Pahang selain PKNS FC yang berada di kedudukan atas kita dan daripada tiga perlawanan kita berjaya mendapat dua mata yang berharga," katanya. 

Mengulas perlawanan malam tadi menentang PKNS yang menyaksikan keputusan seri 2-2, Abu Bakar berkata, kesungguhan pemain dapat dilihat untuk cuba mendapatkan tiga mata namun hanya berjaya mendapat satu mata. 

Katanya, dia juga berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang dapat mendahului perlawanan biarpun ketinggalan pada babak pertama sebelum PKNS berjaya mengikat keputusan dengan sepakan penalti. 

"Kita dapat lihat PKNP berjaya mendahului (selepas separuh masa pertama), namun kita dinafikan oleh sepakan penalti dan sudah banyak kali PKNP 'dihukum' oleh sepakan penalti pada tahun ini dan kita kehilangan banyak mata," katanya. 

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal berkata, perlawanan malam tadi juga dianggap tidak mudah kerana kedua-dua pasukan memburu mata untuk kelab masing-masing. 

Katanya, dia juga berpuas hati dengan permainan anak buahnya yang bermula dengan baik, namun mahu pemain meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya dan akan meningkatkan serta memberi perhatian kepada bahagian pertahanan. 

"Satu mata juga adalah berharga walaupun kita datang ke sini dengan mentaliti untuk mendapatkan kemenangan, biarpun kita tahu PKNP akan bermain bermati-matian, (namun) kesudahannya dua pasukan mengutip satu mata," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X