Rabu, 26 Jun 2019 | 9:32pm
Pertahanan kanan Crystal Palace, Aaron Wan-Bissaka. - Foto Reuters

United sedia bayar RM262 juta untuk Wan-Bissaka

LONDON: Manchester United semakin hampir membuat perjanjian bernilai hingga £50 juta pound (RM262 juta) bagi mendapatkan pertahanan kanan Crystal Palace, Aaron Wan-Bissaka, menurut laporan media hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu hanya melakukan 42 penampilan dalam Liga Perdana buat skuad Eagles, namun beraksi cemerlang musim lalu.

Yuran perpindahan sebanyak £45 juta pound (RM236 juta) dengan tambahan £5 juta pound (RM26 juta) dikatakan sudah dipersetujui antara kelab menurut laporan berkenaan.

Yuran berkenaan menjadikan Wan-Bissaka pertahanan paling mahal dalam sejarah United.

Skuad Red Devils amat memerlukan perubahan selepas menamatkan saingan di tangga keenam Liga Perdana musim lalu dan terlepas saingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Pengganti untuk tempoh yang lama buat pertahanan kanan dan kapten Antonio Valencia yang meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim lalu apabila kontraknya tamat menjadi keutamaan Ole Gunnar Solskjaer dalam pasaran perpindahan pemain.

Wan-Bissaka akan menjadi pemain kedua ditandatangani United musim panas ini selepas kehadiran pemain sayap, Daniel James dari Swansea ketika United menukar tumpuan mereka kepada pemain muda British berbanding bintang mahal sebelum ini. - AFP

Berita Harian X