Selasa, 2 Julai 2019 | 11:21pm
Arsenal menandatangani penyerang Brazil berusia 18 tahun, Gabriel Martinelli dari Ituano Futebol Clube.

Arsenal tandatangani Martinelli, cuba dapatkan Zaha

LONDON: Arsenal menandatangani penyerang Brazil berusia 18 tahun, Gabriel Martinelli dari Ituano Futebol Clube dengan nilai tidak didedahkan, umum kelab dari London itu hari ini.

Martinelli menjaringkan 10 gol dalam 34 penampilan buat kelab berpangkalan di Sao Paulo, Ituano dan dipanggil untuk menyertai latihan kebangsaan dengan skuad senior Brazil menjelang Copa America.

“Ia adalah impian saya sejak kecil dan juga impian keluarga untuk saya bermain di Eropah bersama kelab besar seperti Arsenal. Saya akan mengambil peluang ini,” katanya di laman sesawang Arsenal.

Martinelli menjadi pemain terbaharu Arsenal musim panas ini ketika usaha Gunners menawarkan £40 juta pound (RM208 juta) untuk mendapatkan Wilfried Zaha ditolak oleh Crystal Palace.

Skuad The Eagles, yang menjual pertahanan kanan Aaron Wan-Bissaka dengan nilai £50 juta pound (RM261 juta) kepada Manchester United awal minggu ini memberi nilai £80 juta pound (RM417 juta) buat Zaha. - AFP

Berita Harian X