Rabu, 3 Julai 2019 | 1:06pm
RUBEN Loftus-Cheek. - Foto AFP

Loftus-Cheek beri Chelsea kelegaan

LONDON: Ruben Loftus-Cheek bersedia menandatangani perjanjian jangka panjang baharu bersama Chelsea, yang dijadual mengumumkan pelantikan Frank Lampard sebagai pengurus pada minggu ini, menurut laporan media Britain.

Perjanjian membabitkan pemain tengah England itu, yang tersisih berikutan kecederaan otot itu dijangka sekurang-kurangnya selama lima tahun dengan gaji mencecah £150,000 (RM781,828) seminggu.

Dengan Chelsea berdepan penggantungan daripada melakukan sebarang pembelian pemain sehingga musim panas 2020, berita mengenai Loftus-Cheek jelas memberi kelegaan buat Lampard.

Lampard juga berharap seorang lagi pemain mudanya, Callum Hudson-Odoi akan mengikuti jejak Loftus-Cheek selepas Chelsea menolak bidaan daripada gergasi Jerman, Bayern Munich.

Chelsea turut memperoleh khidmat beberapa pemain berkualiti antaranya Mateo Kovacic yang dipinjamkan ke Real Madrid musim lalu selain Christian Pulisic yang menghabiskan tempoh pinjamannya di Borussia Dortmund, musim depan selepas kelab itu kehilangan tonggak, Eden Hazard yang membuat keputusan menyertai Real.

Lampard dijangka memperoleh £4 juta (RM20.85 juta) setahun selepas dilaporkan bersetuju dengan perjanjian selama tiga tahun untuk mengemudi Chelsea.

Legenda The Blues itu juga dikatakan ditawarkan bonus lumayan £1 juta (RM5.21 juta) jika berjaya mengekalkan posisi kelab itu di kedudukan empat terbaik Liga Perdana musim depan.

Lampard dan pembantunya Jody Morris diberikan pelepasan pada hari pertama sesi latihan pra-musim Derby oleh pemilik kelab, Mel Morris awal minggu ini bagi melancarkan perbincangan ke Chelsea. - AGENSI

639 dibaca
Berita Harian X