Khamis, 4 Julai 2019 | 8:41pm
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam pada sidang media pengumuman hak penyiaran MFL, di Hotel Thistle, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

MFL sentiasa sokong pengadil import

 

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertegas pihaknya sentiasa terbuka dan memberikan sokongan penuh kepada usaha pengunaan pengadil import dalam Liga Malaysia (Liga M).

Dalam masa sama, MFL juga berharap semua pihak tidak keliru dengan berita membabitkan pengadil dan segera menghentikan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan hubungan antara pengelola Liga M itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata idea berkenaan sudah lama dicadangkan pihaknya namun tidak mendapat sokongan penuh selain tentangan diterima.

“Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pun sudah lama mahu mengetengahkan penambahbaikan dalam bahagian ini. 

“Jadi, kami sememangnya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan FAM dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan,” katanya.

Tambah Kevin, beliau cukup optimis kehadiran pengadil import bakal memberikan sedikit kelainan selaras dengan hasrat Tunku Ismail mahu menyaksikan pembaharuan dalam industri pengadilan tempatan dengan memperkenalkan Profesional Match Official Malaysia (PMOM) yang bakal beroperasi sedikit masa lagi.

Untuk itu, Kevin berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan FAM untuk membawa pengadil luar menjelang aksi final Piala FA, 27 Julai ini.

“Terlalu banyak sangat perbincangan berhubung pengadil import ini, tetapi isu ini, MFL sangat terbuka dan berpendapat perlunya ada pengadil import. 

“Jadi, MFL sentiasa mengalu-alukan pengadil import dan mengharap FAM dapat memberikan bantuan sepenuhnya dalam usaha membawa pengadil import,” katanya.

 

 

Berita Harian X