Jumaat, 5 Julai 2019 | 11:16pm
Pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali (kiri) diasak pemain PKNP FC, Filamen Anyie Standly pada perlawanan Liga Super diantara Kedah menentang PKNP FC di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

PKNP ikat Kedah di Alor Setar

ALOR SETAR : Kedah diikat 1-1 oleh PKNP di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi. 

Kedah bermula baik dengan membuat percubaan seawal minit keempat menerusi tandukan Renan Alves yang menerima hantaran sepakan sudut Edgar Bernhardt, namun tesasar.

Kedah yang lebih menguasai permainan terus memburu gol menerusi kapten pasukan Baddrol Bakhtiar yang mengambil sepakan percuma pada minit ke-26 dan Renan Alves selang empat minit kemudian, tetapi kedua-dua percubaan itu tersasar. 

Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang Kedah Fernando Rodriguez hampir membuka jaringan menerusi percubaan satu lawan satu selepas menerima lorongan cantik daripada Baddrol, namun penjaga gawang PKNP Khairul Thaqif Shah berjaya menampan bola keluar. 


Pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) diasak pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi pada perlawanan Liga Super diantara Kedah menentang PKNP FC di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Bermula babak kedua,  pemain sayap Kedah Azzamudin Akil menceriakan penyokong dengan gol pada minit ke-51 selepas mudah menolak bola masuk ke gawang lawan hasil hantaran Rodriguez.

PKNP cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi percubaan sepakan bebas minit ke-66 oleh Hafiz Kamal namun ditepis Ifwat Akmal dan percubaan kedua oleh Yashir Pinto juga gagal menghasilkan gol.

PKNP akhirnya mendapat gol penyamaan pada minit ke-81 hasil percubaan pemain import Giancarlo Rodrigues yang menanduk cantik menewaskan Ifwat Akmal. 

PKNP hampir menambah gol di hujung perlawanan apabila Ramon Da Silva menanduk masuk ke gawang Kedah namun jaringan berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.

Berita Harian X