Sabtu, 6 Julai 2019 | 12:14am
Penyerang Kelantan, Mohammad Imran Samso, (kanan) diasak pertahanan Selangor United, Syafiq Azri Ahmad Kamal pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke IV, Kota Bharu. - Foto Fathil Asri

Kelantan atasi Selangor United

KOTA BHARU: Kelantan berjaya meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila mengatasi Selangor United 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV.

Tuan rumah hampir membuka jaringan seawal minit pertama, minit ketujuh dan minit ke-11 menerusi rembatan deras Imran Samso, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Nik Azli Nik Alias namun ketiga-tiganya tersasar. 

Skuad kendalian Yusri Che Lah kemudian sekali lagi mencemaskan pintu gol Selangor United pada minit ke-23 dan 31 menerusi cubaan Nik Azli, bagaimanapun sepakannya itumelepasi palang gol walaupun penjaga gol Damien Lim sudah tertewas. 


Penyerang Kelantan, Mohammad Imran Samso, (kanan) diasak pertahanan Selangor United, Syafiq Azri Ahmad Kamal dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke IV, Kota Bharu. - Foto Fathil Asri

Pada minit ke-37, giliran penyerang import dari Korea Selatan, Hwang Sinyoung mencipta peluang, bagaimanapun sepakan percuma diambilnya dihalang penjaga gol Kelantan, Mohamad Fikri Che Soh.

Kelantan dilihat lebih garang di awal permainan pada babak kedua, hasilnya pada minit ke-49 Nik Akif berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan pelawat menjatuhkan Amirul Syafik Che Soh di dalam kotak penalti. 

Selang tiga minit, The Red Warriord (TRW) berjaya menambah jaringan menerusi rembatan jarak dekat Nik Azli hasil situasi kelam kabut di dalam kawasan penalti untuk menewaskan Damien buat kali kedua.

 

Berita Harian X