Sabtu, 6 Julai 2019 | 11:21pm
Pemain Melaka United, (lima kanan) Dominik Balic menanduk bola sambil diasak beberapa pemain PJ City Club pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ. - Foto Owee Ah Chun

MU tambah derita PJ City

PETALING JAYA: Melaka United (MU) terus menghangatkan lagi saingan bagi perebutan kelompok atasan liga selepas menewaskan PJ City FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan anak buah Zainal Abidin Hassan bangkit daripada kekalahan di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu dan tiga mata itu membolehkan mereka menghimpun 29 mata sekali gus memintas Selangor untuk menghuni tangga keempat liga.

Bagi PJ City FC pula, kekalahan itu meletakkan mereka dalam keadaan sukar apabila masih lagi belum selamat untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super musim hadapan ketika saingan hanya berbaki tiga perlawanan.

Pada aksi terbabit, MU terlebih dahulu menguji gawang PJ City FC seawal minit kedua menerusi sepakan percuma Nazrin Nawi yang ditepis keluar Mohd Muhaimin Muhamad.


Penyerang Melaka United, Luka Milunonovic (kanan) melakukan rembatan berjaya menjaringkan pada aksi Liga Super menentang Petaling Jaya Football Club (PJ CITY FC) di Stadium MBPJ. - Foto Owee Ah Chun

Permainan bertukar rancak memasuki minit kesembilan apabila gerakan solo Washington Dos Santos diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat sebelum percubaan penyerang MU, Patrick Reichelt diselamatkan Mohd Muhaimin pada minit ke-10 disusuli percubaan Davy Angan terkena palang seminit berselang.

Bagaimanapun, bermula dengan gerakan balas pantas, PJ City FC memperoleh gol pembukaan selepas hantaran lintang S Veenod disudahkan Pedro Henrique sekali gus membolehkan tuan rumah mendahului pada minit ke-12.

Ketinggalan satu gol, MU perlu menunggu sehingga minit ke-37 untuk mendapatkan gol penyamaan apabila hantaran lintang Reichelt disudahkan dengan baik oleh Luka Milunovic dari dalam kotak penalti.

Situasi akhirnya berubah buat MU apabila mereka mendahului permainan ketika babak pertama berbaki seminit selepas Jang Suk Won menanduk masuk sepakan percuma Nazrin untuk gol kedua pelawat.

Bersambung babak kedua, kedua dua pasukan cuba mendapatkan gol tambahan namun keputusan kekal 2-1 berpihak kepada MU sehingga wisel penamat dibunyikan.

782 dibaca
Berita Harian X