Ahad, 7 Julai 2019 | 11:33am
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba habiskan cuti tambahan di New York.

Pogba masih bercuti di New York

LONDON: Ketika Manchester United bersedia berlepas ke Australia untuk jelajah pra musim lewat hari ini, pemain sensasi mereka, Paul Pogba berada beribu batu di New York untuk menghabiskan cuti tambahan yang diberikan sekali gus menguatkan lagi khabar angin dia akan meninggalkan Olf Trafford.

Pogba, 26, memuat naik video sedang berjogging di Central Park dan gambarnya berlatih di sebuah gimnasium yang menjadi viral di internet ketika ini.

Namun tidak siapa di United mengambil pusing keadaan itu kerana Pogba sememangnya diberi pelepasan tambahan susulan musim yang sibuk ketika dia membantu Perancis di pusingan akhir Piala Dunia 2018 Di Russia yang menyaksikan Les Bleus muncul juara.

Begitupun, timbul sedikit rasa bimbang kalangan rakan sepasukan susulan kenyataan ejen Pogba, Mino Raiola yang mendakwa dia sedang dalam proses membawa pemain tengah Perancis itu keluar dari Old Trafford.

“Semua orang Old Trafford, daripada pengurus kepada pemilik, tahu kehendak Paul,” kata Raiola kepada akhbar The Times kelmarin.

“Semua orang sedar keinginan Paul untuk berpindah. Kami sedang dalam proses berkenaan. Semua orang tahu bagaimana perasaan Paul.” 

Kenyataan Raiola itu menguatkan lagi spekulasi perpindahan Pogba untuk meninggalkan United dan mungkin kembali ke Juventus, namun spekulasi lebih kuat tertumpu ke arah Real Madrid susulan langkah Los Blancos dilaporlan sedang berusaha menjual Gareth Bale dan Isco sebagai pertukaran mendapatkan pemain Perancis itu.

Kini sama ada Pogba menyertai United dalam jelajah itu atapun tidak, khabar angin mengenai perpindahannya akan terus diperkatakan ketika United singgah di Australia, Singapura dan China bulan ini. 

Secara rasmi, Pogba disenaraikan untuk jelajah pra musim sebelum mereka menguji Kelab Perth Glory pada 13 Julai ini.

Pemain tengah Perancis itu mengharungi kempen turun naik di Old Trafford sejak menyertai kelab itu dengan rekod dunia 105 juta euro (RM487.70 juta) pada 2016 dari Juventus.

Raiola mendakwa bos-bos di United turut mengetahui pemenang Piala Dunia itu mahu meninggalkan gergasi Inggeris itu. – Agensi

Berita Harian X