Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:54pm
Pemain PKNP,Muhammad Ezanie Salleh (kiri) bersaing dengan FELDA United FC,Christie Jayaseelan pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Foto ihsan PKNP

PKNP FC, FELDA United terikat di Manjung

SERI MANJUNG: PKNP FC dan FELDA United FC terus bersaing hebat untuk kekal dalam Liga Super apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, malam ini.

Keputusan itu membolehkan kedua-dua pasukan memperoleh 16 mata dengan pasukan tuan rumah berada setakuk di atas lawannya itu dalam Liga Super dengan kelebihan perbezaan gol.

Pada aksi berkenaan, PKNP FC lebih dulu melakukan percubaan melalui sepakan Giancarlo Lopes, namun berjaya dinafikan penjaga gol pelawat, Norazlan Razali pada minit ke-8.

FELDA United cuba mengasak benteng tuan rumah dengan sepakan percubaan Jocinei Schad lapan minit kemudian namun berjaya dinafikan penjaga gol PKNP, Khairul Thaqif Shah.

Pemain PKNP,Muhammad Fadhil Idris (kanan) bersaing dengan FELDA United FC,Jasazrin Jamaluddin pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Foto ihsan PKNP

Percubaan Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-43 yang hampir membuka gol gagal selepas rembatannya tersasar dari gawang pelawat.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun keputusan 0-0 kekal pada babak pertama perlawanan.

Skuad The Fighters kemudian mendahului melalui sepakan kencang kaki kanan S Chanthuru yang menewaskan penjaga gol tuan rumah pada minit ke-52, selepas babak kedua bermula.

Tersentak dengan gol itu, anak buah Abu Bakar Fadzim memperkemaskan permainan, namun sepakan Muhammad Fadhil Idris dinafikan penjaga gol pelawat pada minit ke-77.

Begitupun, kegembiraan pasukan kendalian Mohd Nidzam Jamil tidak bertahan lama apabila sepakan kencang Yashir Armando Pinto Islame berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-80. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X