Ahad, 14 Julai 2019 | 8:34pm
Pemain PKNP, Muhammad Ezanie Salleh (kiri) bersaing dengan FELDA United, Christie Jayaseelan pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - Ihsan PKNP
Pemain PKNP, Muhammad Ezanie Salleh (kiri) bersaing dengan FELDA United, Christie Jayaseelan pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - Ihsan PKNP

Misi 'tiga mata' FELDA United

MANJUNG: FELDA United tetap positif untuk kekal dalam Liga Super dengan menetapkan sasaran memburu sekurang-kurangnya tiga mata berbaki dua perlawanan liga. 

Jurulatih skuad dengan julukan The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata terikat 1-1 dalam perlawanan menentang PKNP FC, semalam dianggap adil kerana kedua-dua pasukan mahu menang dan mendapatkan keputusan terbaik. 

Katanya, kelebihan pasukannya adalah mereka masih mempunyai dua perlawanan lagi, namun pertembungan dengan Pahang dan Kedah boleh disifatkan agak sukar serta bukan sesuatu yang mudah. 

"Saya tak pasti apa kecenderungan dua pasukan ini sebab Pahang juga perlukan kemenangan untuk mengukuhkan tempat kedua manakala Kedah pula (jika jurulatih menurunkan atau tidak) kesebelasan utamanya kerana mereka akan bermain pada aksi Piala FA nanti. 

"Tetapi kita perlu positif dan tak boleh fikir pasal orang lain kerana perlu mendapatkan sekurang-kurangnya tiga mata daripada dua perlawanan ini. Dua mata agak sukar sebab kita tidak tahu apa yang akan terjadi antara Petaling Jaya City FC dan PKNP di perlawanan akhir nanti," katanya.

Biarpun pasukannya terlepas peluang mendapatkan tiga mata pada aksi semalam, Mohd Nidzam bagaimanapun tidak menyalahkan pemainnya apabila PKNP berjaya mendapatkan gol penyamaan dan menyifatkan anak buahnya sudah berkerja keras. 

Sementara itu, Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, pasukannya gagal memanfaatkan peluang yang dicipta biarpun dilihat mendominasi permainan pada babak pertama perlawanan. 

"Saya rasa kita tidak menggunakan peluang sepenuhnya yang  dicipta pada separuh masa pertama. Kita memilih jalan sukar untuk sampai penghujung perlawanan untuk kita menunggu peluang (mendapatkan gol penyamaan)," katanya. 

PKNP masih berbaki satu perlawanan iaitu bertemu Petaling Jaya City FC dengan Abu Bakar berkata pasukannya akan berjuang berhabisan untuk memburu mata bagi terus kekal berada dalam liga. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X