Selasa, 16 Julai 2019 | 11:18pm
PEMAIN PJ CITY FC, Washington Brando Dos Santos meraikan jaringan gol pertama pada perlawanan Liga Super 2019, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. NSTP/Mohd Azren Jamaludin.

PJ City lebur ego JDT

JOHOR BAHRU: Rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini akhirnya lebur selepas tewas mengejut 0-1 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kekalahan mengejut pada aksi ke-21 itu memusnahkan harapan skuad Harimau Selatan untuk menyamai pencapaian tiga musim lalu apabila menamatkan saingan tanpa kalah dengan aksi terakhir juara liga itu adalah berdepan Terengganu, Jumaat ini.

Walaupun mendapat semula dua tonggak iaitu kapten Hariss Harun dan Safawi Rasid dalam kesebelasan utama selepas tidak diturunkan ketika aksi menentang Kuala Lumpur, Sabtu lalu, ia masih belum mampu menambah kekuatan JDT untuk mengharungi perlawanan itu.

Malah tuan rumah yang sudah dinobatkan juara liga lebih awal tampak berdepan kesukaran untuk menembusi benteng lawan yang mengamalkan corak permainan mengawal setiap pemain.


PEMAIN JDT, Muhammad Safawi Rasid (dua dari kiri) diasak pemain PJ CITY FC, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gios (kiri) ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Situasi itu memaksa tuan rumah bertindak melakukan rembatan daripada luar kotak penalti dengan bola sepakan Leandro Velazquez hanya sekadar melepasi palang gol pada minit ke-24 manakala pergerakan Diogo Luis Santo dikawal rapi benteng pelawat.

Pelawat mengundang cemas gawang tuan rumah pada minit ke-24 selepas bola sepakan B Barathkumar ditanduk kemas Pedro Henrique namun sempat dikuis keluar penjaga gol, Farizal Marlias yang terpaksa melayangkan badannya.

Apa yang disajikan JDT sepanjang 45 minit babak pertama serba tidak menjadi apabila gagal untuk menguasai perlawanan dan penguasaan tampak memihak skuad kendalian K Devan untuk memastikan tamat babak pertama dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, pelawat sekali lagi mengundang cemas gawang tuan rumah pada minit ke-51 selepas bola bola lorongan Henrique tepat kepada Bae Beom-guen namun pemain import Korea Selatan itu gagal melakukan penyudah tepat walaupun hanya berdepan dengan Farizal.

Tuan rumah terlepas peluang mencipta jaringan pada minit ke-58 selepas bola sepakan percuma Gonzalo Cabrera sempat ditampan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan rembatan susulan Fadhli Shas sekadar sipi dari gawang gol.

Kejutan dilakar oleh PJ City FC pada minit ke-64 apabila tindakan berani Washington Brandao yang tidak dikawal menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kiri menewaskan Farizal.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Benjamin Mora menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun usaha mereka tidak membuahkan hasil sebaliknya kemenangan 1-0 memihak PJ City FC yang berusaha untuk kekal dalam saingan liga elit domestik.

3779 dibaca
Berita Harian X