Khamis, 18 Julai 2019 | 1:51pm
JURULATIH Felda United Mohd Nidzam Jamil (kanan) tunduk sugul selepas pasukannya ditewaskan Pahang pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto BERNAMA

Misi The Fighters kekal di Liga Super kian berliku

KUANTAN: Pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil tidak mahu bergantung harap kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) membenam PKNP FC pada perlawanan terakhir Liga Super.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu berkata, The Fighters mengekalkan fokus untuk mencari jalan menewaskan Kedah, Ahad ini.

"Berdasarkan situasi ini, kami perlu menang berdepan Kedah dan tidak boleh mengharapkan PJ City menewaskan PKNP untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“Peluang masih lagi ada dan mengharapkan pemain untuk memberikan persembahan yang terbaik pada perlawanan terakhir liga," katanya.

Mengulas kekalahan 1-3 kepada Pahang malam tadi, Mohd Nidzam akur dengan keputusan itu.

"Bagi saya, pasukan ini boleh bersaing dengan Pahang selama 70 minit tetapi ia berubah sebaik Pahang memasukkan Dickson Nwakaeme, Norshahrul Idlan Talaha dan Faisal Halim.

"Kehadiran tiga pemain itu banyak mengubah corak permainan dan saya akur bahawa kami berdepan dengan pasukan kedua terbaik liga. 

"Selepas ketinggalan dua gol, kami mempunyai pilihan sama ada terus menyerang atau bertahan, disebabkan memerlukan sekurang-kurangnya satu mata, kami memilih corak menyerang tetapi gagal untuk menyerap asakan lawan.

"Kekalahan ini diharap tidak menyentap semangat pemain kerana perjuangan belum berakhir," katanya.

Berita Harian X