Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:57am
Penyerang Brazil yang juga pemain PSG, Neymar.

Barcelona terdesak dapatkan Neymar

BARCELONA: Juara La Liga, Barcelona dilapor menawarkan £90 juta (RM468 juta) kepada Paris Saint-Germain (PSG) bersama dua daripada enam pemain lain yang boleh dipilih dalam usaha mendapatkan penyerang Brazil, Neymar kembali ke pangkuan mereka.

Kelab gergasi Sepanyol itu menyenaraikan enam pemain yang boleh dipilih PSG sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Sky Sports dalam laporannya menyebut enam pemain yang ditawarkan Barca terdiri Philippe Coutinho, Ousmane Dembele, Ivan Rakitic, Nelson Semedo dan Malcom namun pemain keenam tidak dinamakan.

Neymar baru-baru ini menyatakan hasratnya mahu meninggalkan PSG dengan satu sumber dalam kelab itu mendakwa pertukaran pemain dan bayaran tunai menjadi pilihan terbaik kepada kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

PSG menerima hasrat pemain berusia 27 tahun itu tetapi dengan syarat mereka perlu mendapatkan semula jumlah pelaburan sebanyak £198 juta (RM1.03 bilion) yang dibayar untuk mendapatkannya pada 2017.

Bagaimanapun, Barca enggan membayar jumlah besar itu sebaliknya menegaskan sebarang pembayaran hendaklah ditangguh sehingga Julai 2020.

Minggu lalu, Barca membayar £108 juta (RM555 juta) kepada Atletico Madrid untuk mendapatkan Antoine Griezmann dengan kontrak selama lima tahun.

Dengan belanja besar itu, Barca kini terpaksa menawarkan yuran lebih rendah mendapatkan Nymar dengan pilihan dua pemain sebagai menepati peraturan kewangan ‘fair play’.

Neymar kembali ke Paris Isnin lalu selepas ingkar arahan kelab yang memanggilnya pulang lebih awal untuk memulakan latihan pra musim sebaliknya Neymar menunggu hingga perlawanan lima sebelah anjuran akademinya di kampung halamanya, dekat Praia Grande selesai.

Bekas bintang kelab Santos itu nyata sengaja melengahkan masa untuk pulang ke Paris kerana menunggu kedua-dua kelab mencapai persetujuan untuk mebolehkannya kembali semula ke pangkuan Barca. – Agensi

974 dibaca
Berita Harian X