Jumaat, 19 Julai 2019 | 8:14pm
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

United masih buru 2 lagi pemain baharu - Solskjaer

SINGAPURA: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata kelab itu sedang berusaha menandatangani seorang atau dua lagi pemain untuk mengukuhkan lagi pasukan selepas mengharungi penghujung musim dengan aksi kurang memberansangkan.

Sejak mengambil alih tugas daripada Jose Mourinho pada Disember lalu, Solskjaer memulakan peranan selaku pengurus dengan cemerlang apabila meraih 10 kemenangan dan dua seri dalam 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menyedari skuad dimiliki sekarang tidak seimbang dan memerlukan perubahan besar-besaran, Solskjaer sudah pun mendapatkan pemain tengah, Daniel James dan pertahanan, Aaron Wan-Bissaka.

Kini United dikaitkan dengan pertahanan tengah England, Harry Maguire dan perancang Portugal, Bruno Fernandes.

"Kami masih bekerja untuk mendapatkan seorang atau dua pemain. Objektif saya adalah perlu bersiap sedia untuk perlawanan dan sesi latihan," kata pengendali dari Norway itu di sini, hari ini.

"Kami sedang berusaha untuk menempatkan skuad kami di landasan yang mampu bersaing. Liga Perdana Inggeris sebuah liga yang kompetitif dan sasaran kami adalah untuk fokus kepada diri sendiri.

"Saya pasti kami semakin hampir untuk berada di puncak."

Ander Herrera sudah pun meninggalkan United dan menyertai Paris Saint-Germain manakala persoalan masih timbul membabitkan masa depan penyerang Belgium, Romelu Lukaku, selain Paul Pogba.

- AFP

1123 dibaca
Berita Harian X