Isnin, 22 Julai 2019 | 10:00pm
BARISAN skuad Bawah 15 tahun negara (B-15). - Foto ihsan Facebook Football Association Malaysia

Skuad B-15 juara di China

 

KUALA LUMPUR: Barisan pelapis negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan selepas skuad Bawah 15 tahun negara (B-15) muncul juara Kejohanan Bolasepak Remaja Antarabangsa Haikou di China, hari ini.

Kejayaan itu diraih selepas anak buah P Maniam menundukkan Korea Utara 2-1 pada aksi ketiga di Stadium Haikou Wuyuanhe, petang tadi.

Pada aksi terbabit, Malaysia unggul mendahului dua gol menerusi Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-20 dan Nabil Qayyum Zainuddin pada minit ke-57 sebelum Korea Utara meraih gol saguhati menerusi sepakan penalti Yom Chol Gyong pada minit akhir perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengumpul tujuh mata sekali gus memintas Korea Utara yang menghimpun enam mata sementara tuan rumah, China yang meraih satu mata akan membuat perhitungan dengan Iran pada aksi terakhir, malam ini.

Sebagai rekod, Malaysia membenam Iran 2-0 pada aksi pertama sebelum rentak kemenangan mereka disekat tuan rumah yang menyaksikan mereka terikat 1-1.

Status selaku juara itu sudah pasti memberi tonik buat skuad remaja negara menjelang Kejuaraan B-15 AFF 2019 yang akan bermula pada 24 Julai hingga 10 Ogos ini di Chonburi, Thailand.

3567 dibaca
Berita Harian X