Selasa, 23 Julai 2019 | 9:10pm
Bale tidak akan meninggalkan Real Madrid menerusi pinjaman pada fasa perpindahan. - Foto fail

Bale tidak akan tinggalkan Real Madrid secara pinjaman

LONDON: Gareth Bale tidak akan meninggalkan Real Madrid menerusi pinjaman pada fasa perpindahan walaupun tidak menjadi pilihan di bawah kendalian Zinedine Zidane, kata ejennya hari ini.

Bos Real itu berkata hujung minggu lalu bahawa pasukan gergasi La Liga itu tidak sabar untuk mengeluarkan bintang Wales berusia 30 tahun itu.

Namun wakilnya, Jonathan Barnett, memberitahu Sky Sports News bahawa sebarang perjanjian mestilah berasaskan kepada perjanjian kekal.

“Tiada perjanjian sementara untuk mengeluarkannya daripada kelab,” kata Barnett, yang sebelum ini turut berkata Zidane “tiada rasa hormat” terhadap pencapaian Bale di Real.

“Gareth ialah seorang daripada pemain terbaik di planet. Saya boleh jamin bahawa dia tidak akan dipinjamkan ke mana-mana kelab.

“Gareth ialah pemain Real Madrid dan buat masa ini dia akan kekal sebagai pemain Real Madrid.

“Jika ada sesuatu yang datang dan sesuai dengan kami, ia akan berubah dan dia akan pergi dalam masa sehari atau seminggu. Atau dia masih boleh menjadi pemain Real dalam tempoh tiga tahun sehingga kontraknya berakhir.” - AFP

Berita Harian X