Rabu, 24 Julai 2019 | 1:06pm
ZINEDINE Zidane (kanan) dan Gareth Bale.

'Situasi Bale tidak berubah'

WASHINGTON: Zinedine Zidane memuji sumbangan Gareth Bale yang meledak gol ketika menentang Arsenal tetapi pengurus Real Madrid itu menegaskan situasi membabitkan pemain berkenaan tidak berubah.

Bale keluar daripada bangku simpanan untuk menyelamatkan Real yang ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama sebelum meledak gol bagi membantu pasukan mengikat kedudukan 2-2 pada aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa itu.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti yang kemudian dimenangi 3-2 oleh Real.

Selepas tidak disenaraikan ketika kekalahan kepada Bayern, minggu lalu, Zidane mengesahkan kelab itu sedang mencari jalan untuk menjual bintang Wales itu pada musim panas ini.

Ia mencetus ‘perang mulut’ di antara kelab dan wakil Bale dengan ejennya,  Jonathan Barnett mendakwa Zidane ‘memalukan’ sebelum bos Real itu membalas kata-katanya tidak bermaksud sedemikian.

Semalam, Zidane turut menyatakan tindakan tidak menyenaraikan Bale ketika bertemu Bayern adalah keputusan pemain itu sendiri dan mendakwa turut tidak meminta untuk beraksi ketika melawan Arsenal.

Begitupun, Bale membuat kejutan apabila bermain dan meledak gol penting kebangkitan pasukannya pada babak kedua ketika kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain.

Sekali pun tampil dengan persembahan baik, Zidane berkata situasi membabitkan pemain berusia 30 tahun itu kekal iaitu kemungkinan dia akan meninggalkan kelab sebelum musim ini bermula.

Ketika ditanya mengenai prestasi Bale, Zidane yang turut menyaksikan pemainnya Nacho diarah keluar padang seawal minit kesembilan berkata: “Dia mengharungi perlawanan yang baik dan saya gembira untuknya. Sama seperti seorang orang.”  - Agensi

Berita Harian X