Isnin, 29 Julai 2019 | 1:24pm
Bekas pengurus Manchester United, David Moyes. - Foto Reuters

Moyes kritik Man United

LONDON: Bekas pengurus Manchester United, David Moyes percaya punca kelab itu ‘tergelincir’ daripada perebutan kejuaraan adalah berikutan strategi perpindahan Red Devils yang tidak jelas.

United hanya menang tiga trofi - Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga sejak pengurus legenda, Sir Alex Ferguson meninggalkan kelab itu pada 2013.

Sekali pun berbelanja besar, United gagal menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan dua terbaik dalam lima daripada enam musim terakhir dan Moyes percaya pendekatan yang diambil kelab itu ketika musim perpindahan menyekat kemajuan mereka.

Justeru, Moyes yang menghabiskan tempoh selama 10 bulan mengendali United selepas persaraan Ferguson mendakwa kelab itu membeli pemain berdasarkan potensi pemasaran dan bukannya disebabkan kemampuan mereka di atas padang.

“Untuk sekian lama, sukar untuk mengetahui apakah arah yang United lalui,” kata Moyes. “Sama ada mereka menandatangani pemain untuk tujuan pemasaran, yang mereka lakukan dengan baik, atau mereka menandatangani pemain untuk beraksi di atas padang, saya tidak begitu yakin.

“Apa yang Manchester United miliki adalah nilai yang hebat dan kelas. Nilai Manchester United bukanlah sentiasa membeli pemain yang termahal tetapi melakukan dengan cara mereka sendiri iaitu membawa masuk pemain daripada akademi dan memilih pemain muda terbaik.

“Kini dan sekali lagi mereka mengharapkan keajaiban mendapatkan pemain ternama seperti Eric Cantona, atau seseorang yang mereka bawa masuk untuk melakukan perubahan seperti Robin van Persie.

“Saya tidak pernah berfikir yang mereka adalah kelab yang sentiasa berfikir semuanya mengenai berbelanja, tetapi jika mereka perlu melakukannya, mereka akan lakukannya.”

United sudah menghabiskan £50 juta (RM254.86 juta) untuk mendapatkan Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace dan £15 juta (RM76.46 juta) bagi membawa masuk Daniel James dari Swansea serta hampir untuk melengkapkan perpindahan Bruno Fernandes (Sporting) dengan nilai £62 juta (RM316.02 juta) dengan pemain bintangnya, Paul Pogba terus dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. - Agensi

Berita Harian X