Selasa, 30 Julai 2019 | 11:12am
Romelu Lukaku diburu Inter Milan.
Romelu Lukaku diburu Inter Milan.

Inter kecewa kemelut Lukaku

LONDON: Inter Milan mengemukakan tawaran yang ‘adil dan penting’ terhadap Romelu Lukaku dan kelab Itali itu tidak boleh dipaksa mengeluarkan belanja berlebihan bagi mendapatkan penyerang Manchester United berkenaan.

Selepas gaya permainannya tidak berjaya menambat hati pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer, Lukaku dikatakan sedang mencari haluan baharu dengan kelab Serie A, Inter menjadi antara pilihan.

Begitupun selepas United menolak tawaran awal dan menuntut £80 juta (RM401.46 juta) bagi pemain berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta berkata kelab itu tidak bersedia untuk mengeluarkan belanja sebesar itu.

“Jelas ketika ini tuntutan terhadap pemain amat tinggi dalam sesetengah kes, seperti untuk Lukaku,” kata Moratta. “Kami sudah mengemukakan tawaran yang adil dan penting, menghormati nilai pemain itu. 

“Kami akan memantau situasi, tetapi saya tidak pasti saya mahu kehilangan keseimbangan. Jendela perpindahan pada tahun ini panjang. Kami tidak mahu terburu-buru, seperti yang kami lakukan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami perlu berhati-hati untuk menilai peluang berdasarkan kapasiti kewangan dan ekonomi. Kami bagaimanapun perlu menghormati tanda aras Peraturan Kewangan Adil. Apapun, kami perlu mengambil peluang dan kami yakin.”

Jurulatih Inter, Antonio Conte tidak berselindung meminati bekas penyerang Everton itu yang tidak terbabit dengan kempen pra-musim United berikutan masalah kecederaan.

Lukaku pada musim lalu meledak 15 gol dalam 45 penampilan untuk semua kejohanan buat United musim lalu termasuk menjaringkan 12 gol dalam 32 perlawanan Liga Perdana. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X