Selasa, 30 Julai 2019 | 1:57pm
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - Arkib NSTP

Cheng Hoe harap aksi pemanas badan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe masih mengharapkan satu perlawanan persahabatan dapat diatur sebelum membuka tirai kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia berdepan Indonesia, September ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini sudah mengatur aksi pemanas badan Harimau Malaya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tetapi terpaksa dibatalkan berikutan kedua-dua pasukan diundi dalam kumpulan sama untuk kempen kelayakan itu.

Selain UAE dan Indonesia, dua lagi jaguh Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand turut diundi dalam Kumpulan G bersama Harimau Malaya.

Bagi Cheng Hoe, aksi persahabatan itu sangat penting dalam membentuk skuad mantap untuk berdepan Indonesia yang juga antara pencabar Harimau Malaya di rantau Asia Tenggara.

"FAM ketika ini sedang berusaha mengatur aksi persahabatan dan saya harap kita dapat satu perlawanan pemanas badan sebelum menentang Indonesia.

"Barisan kejurulatihan ketika ini juga masih melakukan pemantauan dan penilaian terbaik terhadap pemain untuk dipanggil menyertai pasukan nanti," katanya kepada BH Sukan.

Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan pemain naturalisasi dengan FAM sudah mengemukakan permohonan Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula untuk mendapatkan taraf kerakyatan negara ini.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga seakan memberi petanda positif mengenai proses naturalisasi kedua-dua pemain terbabit, termasuk dua pemain berdarah campuran - Kobe Jae Chong dan Armin Maier.

Selain itu, BH Sukan pada 22 Julai lalu turut melaporkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan skuad itu bakal memiliki 'senjata baharu' yang dilihat mampu menajamkan lagi 'taring' Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, Hamidin sekadar memberi bayangan apabila dia mengambil pendekatan berahsia dan enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkembangan terbabit.

1518 dibaca
Berita Harian X