Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:40pm
PEMAIN Terengganu FC, Sanjar Shaakhmedov (kiri) meraikan jaringkan pertama ketika menentang pasukan PKNS FC pada saingan kumpulan A, Piala Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah . - Foto BERNAMA

TFC mula langkah kanan

KUALA TERENGGANU: Finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) menundukkan PKNS FC 3-1 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Sekali pun turun tanpa kapten, Lee Tuck yang digantung satu perlawanan, skuad Penyu bermula garang dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov seawal minit kelima perlawanan.

Jaringan itu berpunca dari hantaran satu dua Sanjar dengan pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya sebelum pemain itu merembat dari dalam  otak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Selepas jaringan itu, skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain terus mendominasi permainan dan hampir menambah jaringan pada  minit ke-15 menerusi rembatan pemain muda meningkat naik, Rahmat Makasuf namun berjaya ditepis penjaga gol.

Dua minit berselang, kapten pasukan, Kipre Tchetche berjaya meledak gol kedua pasukannya, namun tidak diiktiraf pengadil kerana dia didakwa berada dalam keadaan ofsaid.

Hasil serangan balas, penyerang skuad Semut Merah, Jafri Firdaus mudah menolak masuk untuk gol penyamaan 1-1 pada minit ke-30 berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan yang diketuai bekas pemain Terengganu FC II, Serhii Andrieiev mengawal ketat pemain lawan.

Berbekalkan lebih 6,000 peminat setia hitam putih, semangat melawan pemain TFC  kian membara apabila terus bernafsu mengasak kubu pelawat, hasilnya skuad TFC berjaya menambah jaringan kedua menerusi tandukan terbang Nasrullah Hanif Johan hantaran Syamim pada minit ke-37.

Nasib malang terus menghantui Tchetche apabila jaringan kedua peribadinya sekali lagi tidak dilayan pengadil kerana didakwa berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-47.

Pada minit ke-53, skuad bimbingan Datuk K Rajagobal berpeluang menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi Jafri, tetapi rembatan penyerang kebangsaan itu terkena palang biarpun penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razali sudah tertewas.

Tchetche yang memainkan watak penting skuadnya hampir berjaya menemui sentuhan gol pertamanya pada minit ke-66, tapi rembatan pemain yang digelar 'Drogba Ganu' itu berjaya ditepis penjaga gol walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol itu.

Selang beberapa saat sebelum perlawanan  ditamatkan, Sanjar sekali lagi berjaya meledak gol kedua peribadinya yang juga jaringan ketiga pasukannya menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti untuk mengukuhkan kedudukan 3-1.

 

 

Berita Harian X