Ahad, 4 Ogos 2019 | 2:07am
PEMAIN Negeri Sembilan, Matheus Fernandes (atas kanan) diasak pemain Kedah, Renan Da Silva (kanan) pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. NSTP/Adzlan Sidek.

Kedah bermula garang

SEREMBAN: Kedah bermula langkah kanan apabila menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan A Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Juara Piala FA 2019 itu bermula garang dengan permainan kemas apabila melakukan asakan menerusi rangkaian penyerang Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, Fernando Rodriguez Ortega dan Jonatan Jesus Bauman.

Ketika Negeri Sembilan dilihat mula menyusun rentak, tuan rumah dikejutkan dengan gol awal pelawat pada minit ketiga oleh Rodriguez apabila dia yang tidak dikawal menyambar hantaran lintang Azamuddin Akil dan menanduk ke penjuru kanan menewaskan Mohd Kaharuddin Abdul Rahman.

Anak buah Mohd Zaki Sheikh Ahmad dilihat cuba bangkit memberikan tentangan namun usaha mereka merapatkan jurang tidak berhasil biarpun mendapat beberapa peluang menerusi Jose Almir Neto, Igor Luiz dan Mohd Ferris Danial Nasir.

Ketangkasan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal CheK Kassim ternyata menyukarkan jentera serangan Negeri Sembilan mendapatkan gol yang dicari sebelum tamat separuh masa pertama.

Negeri Sembilan memperkemaskan jentera serangan sebaik bersambung babak kedua dalam usaha untuk mendapatkan gol dan tendangan deras Ferris Danial dari dalam kotak penalti pada minit ke-55 hanya sedikit melepasi palang.

Kedah mengukuhkan kedudukan apabila Mohd Shakir Hamzah meledak gol kedua pada minit ke-72 menerusi tendangan padu dari sebelah kiri pintu gol.

Ferris Danial kemudiannya merapatkan jurang pada minit ke-77 tetapi ia tidak bertahan lama pabila Kedah terus melebarkan jurang menerusi penalti selepas Matheus Vila mengkasari pemain gantian Mohd Farhan Roslan pada minit ke-82.

Bauman mengambil sepakan itu menewaskan Mohd Kaharuddin untuk gol ketiga pelawat.

Berita Harian X