Ahad, 4 Ogos 2019 | 7:55am
Pemain Manchester United, Daniel James (tengah) dikepung pemain AC Milan pada aksi saingan para musim di Cardiff, pagi tadi. - Foto Reuters

Penalti James hampakan AC Milan

CARDIFF, United Kingdom: Penalti Daniel James membantu Manchester United menewaskan AC Milan 5-4 menerusi penentuan penalti sekali gus merakam kemenangan keenam saingan pra musim di sini, pagi tadi.

Pemain antarabangsa Wales berusia 21 tahun itu yang baru dibeli dari Swansea, memastikan kemenangan itu selepas David de Gea menyelamatkan sepakan Daniel Maldini dan Paolo.

Kejayaan 5-4 itu susulan masa sebenar terikat 2-2 dan kejayaan itu keenam buat United termasuk kejayaan menewaskan Tottenham Hotspur dan Inter Milan.

"Ia sangat menakjubkan. Ujian hari ini amat sukar tetapi kami memperagakan semangat juang selepas ketinggalan,” kata James kepada MUTV.

"Menyumbat gol penalti di sini terutama di Cardiff, sangat istimewa.


Penjaga gawang Manchester United, David De Gea (kanan) bersama rakan sepasukan, Juan Mata selepas perlawanan menentang AC Milan, pagi tadi. - Foto Reuters

"Rakan sepasukan sangat baik dengan saya, saya gembira menyertai perlawanan pra musim ini, semua pemain kagum dengan saya. Minggu depan kami ada satu lagi ujian.

"Chelsea (lawan pertama Liga Perdana Inggeris minggu depan) pasti menampilkan saingan yang hebat tapi kami sudah menunjukkan kemampuan dengan enam kemenangan.”

United mencipta kejayaan meskipun tanpa khidmat penyerang Belgium, Romelu Lukaku yang dijangka akan meninggalkan kelab menerusi pertukaran pemain dengan pemain Juventus dari Argentina, Paulo Dybala.

United juga tanpa Pogba dalam aksi di Cardiff itu angkara sakit belakang namun media di Britain melaporkan bahwa bintang Piala Dunia Perancis itu sedang bersiap menyertai Real Madrid.

Bagaimanapun pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer menafikan perpindahan itu sambil berkata: "Saya rasa dia akan kembali bersama kami minggu depan.” – AFP

1835 dibaca
Berita Harian X