Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:29pm
Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar (tengah) ketika sesi latihan di Paris. - Foto AFP

Bayar RM236.64 juta, Coutinho, Semedo jika nak Neymar

LONDON: Paris Saint-Germain (PSG) mengendurkan sedikit syarat perpindahan membabitkan Neymar apabila mendedahkan apa yang diperlukan Barcelona bagi membawa bintang Brazil itu ke Nou Camp, musim panas ini.

Selepas bertegas mahukan €222 juta (RM1.05 bilion) bagi pemain berusia 27 tahun itu, sumber memaklumkan PSG boleh mempertimbangkan tawaran terhadap Neymar tetapi ia termasuk pertukaran Philippe Coutinho, Nelson Semedo serta bayaran tunai sekitar €50 juta (RM236.64 juta).

Coutinho dianggap sebagai lebihan di Barca sejak kehadiran Antoine Griezmann dan dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham sebelum ia menemui kegagalan selepas jendela perpindahan Inggeris ditutup, semalam.

Samedo pula berkongsi kedudukan pertahanan kanan bersama Sergi Roberto.

Neymar, yang terdesak pulang ke Nou Camp belum bermain untuk PSG dalam kempen pra-musim dan tidak beraksi bagi aksi Trofi Juara-Juara menentang Rennes, 3 Ogos lalu susulan penggantungan.

Pemain kebangsaan Brazil itu turut meraikan kemenangan 2-1 pasukannya pada perlawanan itu tetapi dia ditolak oleh rakan sepasukannya, Kylian Mbappe ketika sesi bergambar.

Barcelona tidak menyembunyikan niat untuk mendapatkan Neymar bulan lalu dengan Presidennya, Josep Maria Bartomeu mendedahkan bekas pemain Santos itu mahu meninggalkan Paris.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde begitupun berkata dia tidak pasti sama ada Neymar akan menyertai semula kelab itu dan menegaskan fokusnya adalah terhadap skuad sedia ada. - Agensi

2946 dibaca
Berita Harian X