Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:44am
PENGURUS Chelsea, Frank Lampard. - Foto REUTERS

Chelsea perlu teruskan hidup tanpa Hazard

ISTANBUL: Pengurus Chelsea, Frank Lampard berkata tiada individu boleh menggantikan pemain sayap, Eden Hazard sambil menggesa kelab itu melupakan pemain terhebat mereka itu.

Hazard berhijrah ke Real Madrid pada Jun dengan kelab Sepanyol itu dilaporkan membayar sekitar 100 juta euro (RM469 juta) untuk pemain antarabangsa Belgium itu.

Chelsea tewas dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana dengan Lampard mengemudi pasukannya ketika tewas 4-0 kepada Manchester United dan akan berdepan Liverpool pada Piala Super UEFA awal pagi esok.

Bekas pemain antarabangsa England itu berkata pasukan itu boleh meneruskan rentak mereka walaupun tanpa kehadiran Hazard, sama seperti dilakukan ketika kehilangan pemain pilihan lain.

“Saya peminat besar Eden Hazard, sebagai penyokong Chelsea. Saya bermain bersamanya. Bagi saya, jelas dia seorang daripada pemain terbaik dunia, ketika dia di Chelsea, dia antara paling produktif dan seorang ketua,” kata Lampard.

“Anda tidak boleh menggantikannya sebagai individu, kerana tahap tinggi dia berada ketika ini. Tetapi berita baik dan positif ialah kami ada kumpulan pemain yang bagus... mereka boleh meningkat.

“Jawapannya sebagai satu pasukan kami perlu mencari jalan untuk melaluinya. Hazard, (John) Terry, (Didier) Drogba, teruskan.”

Piala Super menemukan antara pemenang Liga Juara-Juara, Liverpool berdepan juara Liga Europa, Chelsea. - Reuters

1956 dibaca
Berita Harian X