Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:38am

City didenda angkara daftar pemain bawah umur

PARIS: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Manchester City sebanyak 339,000 euro (RM1.58 juta) selepas didapati bersalah melanggar peraturan perpindahan dan pendaftaran membabitkan pemain di bawah umur 18 tahun, umum badan bola sepak antarabangsa itu, pagi tadi.

City yang juga juara Liga Perdana Inggeris musim lalu berdepan hukuman larangan perpindahan namun Jawatankuasa Disiplin FIFA hanya mengenakan denda susulan langkah Manchester City FC mengakui ‘bertanggungjawab’ atas kesalahan berkenaan.

City mendakwa masalah itu timbul angkara kekaburan mengenai peraturan itu tatkala FIFA tidak memberikan penjelasan lengkap mengenai perubahan peraturan terbabit.

"Kelab mengakui kesilapan akibat salah faham. Semua kesalahan dilakukan sebelum Disember 2016 ketika peraturan itu masih kabur,” kata jurucakap Manchester City.

Tahun lalu, FIFA membersihkan City daripada kesalahan dilakukan pada 2016 apabila menandatangani Benjamin Garre dari Velez Sarsfield selepas pemain tengah Argentina itu baharu sahaja mencapai usia 16 tahun.

Selain itu, dua pemain akademi bola sepak Right to Dream di Ghana, George Davies dan Dominic Oduro memberitahu akhbar Denmark, Jyllands-Posten bahawa mereka ditandatangani City dan beraksi dalam perlawanan peringkat belia sebelum berusia 18 tahun. Kedua-duanya beraksi selama dua tahun di kelab itu.

Susulan kes berkenaan, City turut disiasat oleh pengendali Liga Perdana, Persatuan Bolasepak Inggeris serta UEFA, badan bola sepak Eropah. – AFP

1589 dibaca
Berita Harian X