Rabu, 14 Ogos 2019 | 11:35pm
Pemain UKM FC, Mohd Hafizi Amirudin mengasak pemain TFC II dalam perlawanan Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - NSTP/Rozainah Zakaria
Pemain TFC II, Bruno Junichi Suzuki Castanheira mengasak penjaga gol UKM FC dalam perlawanan Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - NSTP/Rozainah Zakaria

TFC II, UKM FC terikat di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Juara Piala Cabaran edisi pertama musim lalu, Terengganu FC II (TFC II) dan naib juara, UKM FC berkongsi mata selepas terikat 2-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Pemain gantian, Faiz Hanif Adnan muncul watak pemusnah selepas meledak gol penyamaan pada minit ke-88 sekali gus menghampakan hajat TFC II mengutip tiga mata.

Berakhir babak pertama, skuad The Turtles bimbingan bekas pemain kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan memimpin perlawanan selepas berjaya meledak dua jaringan.

Gol pertama diperoleh menerusi sepakan penalti pemain import kelahiran Brazil, Bruno Suzuki pada minit ke-20 yang mudah menewaskan penjaga gawang, Amin Faisal Mohd Saidi selepas bola terkena tangan pertahanan, K Reuben.

Sepuluh minit berselang, arkitek skuad TFC II, Dechi Marcel menambah gol kedua pasukannya menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti hasil permainan satu dua dengan bekas pemain Terengganu FC (TFC), Mohd Shahrul Aizad untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Usaha berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Milad Zanidpour menyudahkan peluang terhidang menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-55 untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum masa sebenar berakhir,  Faiz Hanif  bijak memanfaatkan peluang di depan gol apabila mudah menanduk masuk untuk menyamakan kedudukan 2-2.

917 dibaca
Berita Harian X