Khamis, 15 Ogos 2019 | 10:00am
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard. - Foto AFP

Lampard bangga aksi Chelsea

ISTANBUL: Chelsea tewas penentuan penalti di tangan Liverpool dalam aksi Piala Super UEFA tetapi pengendalinya Frank Lampard tetap bangga dengan aksi anak buahnya yang berjaya mengikat permainan 2-2 selepas masa tambahan.

Chelsea sebelum ini tewas 4-0 kepada Manchester United dalam aksi kompetitif pertama Lampard sebagai pengurus selepas mengambil alih tugas Maurizio Sarri pada Julai, tetapi bekas pemain tengah England itu berkata pemain-pemainnya bangkit dengan cara yang betul.

‘Selepas Ahad, malam ini tahap yang berbeza, dan kami tidak bernasib baik. Kami mempunyai tiga perlawanan sebelum rehat antarabangsa dan kami akan cuba memenangi kesemuanya,” kata Lampard yang akan berdepan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Ahad ini.

“Musim Chelsea pasti bagus jika kami bermain seperti hari ini. Saya bangga dengan persembahan pasukan, dan keyakinan yang ditunjukkan.

“Ia perlawanan yang sukar menentang pasukan mantap Liverpool yang mempunyai rehat lebih panjang (bermain pada Jumaat). Tetapi ada ketika bola sepak ditentukan oleh sedikit tuah.”

Lampard turut memuji sumbangan dua pemain mudanya, yang kembali ke kelab selepas dipinjamkan kepada kelab Liga Kejuaraan, susulan larangan ke atas Chelsea membawa masuk pemain baharu ketika jendela perpindahan, selain pemain-pemain berpengalaman seperti N’Golo Kante.

“Saya masih dalam proses menerapkan corak permainan yang saya mahukan dan banyak aspek positif malam ini.

“Kante pemain yang hebat, karakter yang menakjubkan. Dia ibarat mesin di atas padang. Dia kurang menjalani latihan kerana buku lalinya bengkak dua hari lalu, tetapi dia bersungguh-sungguh mahu bermain dan anda boleh lihat sumbangannya hari ini.

“Dia akan menjadi amat penting. Saya gembira dapat bekerja dengannya,” katanya. – REUTERS

 

Berita Harian X