Jumaat, 16 Ogos 2019 | 11:41pm
Pemain PKNP FC, Giancarlo Rodrigues (kiri) diasak pemain JDT, Adam Nor Azlin pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Effendy Rashid
Pemain PKNP FC, Yashir Pinto (kanan) menjaringkan gol pertama pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Effendy Rashid

PKNP FC, JDT seri di Manjung

MANJUNG: PKNP FC mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan seri 2-2 pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

Pasukan pelawat terlebih dahulu menghasilkan gol pendahuluan apabila sepakan Gonzalo Cabrera menewaskan penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi Suhaimi pada minit ke-10.

Skuad kendalian Benjamin Mora menambah derita pasukan tuan rumah apabila Gonzalo sekali lagi menjaringkan gol tiga minit selepas itu.

Tersentak dengan gol itu, anak buah Abu Bakar Fadzim memperkemaskan permainan, namun sepakan Pedro Victor Calil Sandoval pada minit ke-27 tersasar ke kiri gawang pelawat.

Kegembiraan pelawat tidak bertahan lama apabila tuan rumah berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti Yashir Pinto pada minit ke-35.

Peluang penalti itu hadir selepas Mauricio Dos Santos Nascimento mengasari Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-32.

Lima minit kemudian, tuan rumah hampir berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan Amani Santos Aguinaldo namun ia dinafikan kerana ofsaid.

Gol penyamaan hanya terhasil pada minit ke-78 melalui rembatan Giancarlo Lopes yang menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Kedua-dua pasukan terus melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan kedudukan seri kekal sehingga tamat permainan.

Berita Harian X