Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:44am
Penyerang gantian Athleti Bilbao, Aduriz meraikan kejayaan menyumbat gol tunggal perlawanan ketika menentang Barcelona, awal pagi tadi. - Foto EPA

Penyerang veteran benam Barca

MADRID: Kempen mempertahankan gelaran La Liga Barcelona bermula hambar apabila kehilangan Luis Suarez akibat kecederaan dan kemudian tewas 1-0 kepada Athletic Bilbao hasil jaringan akrobatik pemain gantian Aritz Aduriz.

Suarez dikeluarkan pada minit ke-37 akibat kecederaan betis sebelum Aduriz dimasukkan pada minit ke-88, penyerang 38 tahun yang mengumumkan akan bersara akhir musim ini.

Ia permulaan memberangsangkan untuk musim terakhir Aduriz apabila dia melayangkan badannya ke udara untuk melakukan sepakan voli melepasi Marc-Andre ter Stegen.

Barca turun tanpa kelibat Lionel Messi yang turut cedera di bahagian betis ketika sesi pra-musim, dan sebelum sepak mula mengesahkan bakal kehilangan Philippe Coutinho yang akan dipinjamkan kepada Bayern Munich.


Sepakan gunting penyerang Athletic Bilbao, Aritz Aduriz (kiri) membolosi gawang Barcelona, awal pagi tadi. - Foto EPA

Bilbao yang menamatkan saingan La Liga di tangga kelapan musim lalu, seri tanpa jaringan bertemu Barca pada Februari dan hampir mengulangi keputusan itu sehingga Aduriz dimasukkan.

Dia sudah meledak 200 gol sepanjang karier 20 tahunnya tetapi gol pertama La Liga musim ini yang bakal menjadi musim terakhirnya adalah paling istimewa buat Aduriz.

“Kadang-kadang bola sepak boleh menjadi sangat indah,” kata Aduriz. “Memang mustahil untuk tidak merinduinya tetapi setiap perkara akan ada awal dan akhirnya.” – AFP

 

4325 dibaca
Berita Harian X