Sabtu, 17 Ogos 2019 | 11:12pm
Australia (jersi hijau) menundukkan Myanmar 2-1 di Stadium Binh Duong. - Ihsan Twitter ASEAN Football

B-18 AFF: Malaysia, Australia berentap di final

KUALA LUMPUR: Australia berpeluang membalas dendam ke atas Malaysia apabila mara ke final Kejuaraan Bawah 18 tahun (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019 selepas menundukkan Myanmar 2-1 di Stadium Binh Duong, sebentar tadi.

Pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini, skuad bimbingan Gary Rudy itu dikejutkan pemain muda negara apabila dibenam 3-0 hasil dua jaringan oleh Luqman Hakim Shamsudin dan satu gol sumbangan Muhd Azam Azmi Murad.

Justeru, aksi final yang akan berlangsung Isnin ini bakal mengulangi aksi peringkat kumpulan dan pastinya, Australia bakal tampil lebih kemas untuk menebus kehampaan itu sekali gus merampas gelaran juara dari Malaysia yang turun selaku juara bertahan.

Bagaimanapun, Australia ketinggalan seawal minit ke-18 apabila La Min Htwe meledak gol pembukaan dan usaha Australia mendapatkan gol penyamaan sepanjang babak pertama gagal sekali gus keputusan 1-0 kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, gol penyamaan yang dicari berjaya diperolehi apabila Lleyton Andrew meledak gol kedua pada minit ke-57 sekali gus membolehkan Australia mengurangkan sedikit tekanan selepas beberapa percubaan sebelum itu gagal menembusi gawang Myanmar.

Australia meledak gol kemenangan pada minit ke-77 untuk mengecewakan Myanmar dan kini mereka berpeluang memburu kejuaraan pertama sejak kali terakhir pada 2016. 

5406 dibaca
Berita Harian X