Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:15pm
PENYERANG PJ City FC, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gios (kiri) membuat percubaan ke arah gawang UiTM FC pada aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi. - Foto BERNAMA

PJ City tambah sengsara UiTM FC

PETALING JAYA: PJ City FC terus menambah luka kepada UiTM FC selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Liga Perdana itu pada aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Lion Troops itu tewas semua tiga perlawanan peringkat kumpulan setakat ini dan membolehkan skuad bimbingan K Devan itu melonjak ke tangga kedua mengatasi PKNP FC.

Pada aksi terbabit, UiTM FC lega meskipun dibolosi seawal minit kelima apabila jaringan Washington Brandao dibatalkan susulan penyerang itu sudah berada dalam keadaan ofsaid.


PEMAIN PJ City FC, Washington Brando Dos Santos (kiri) beraksi dalam perlawanan menentang UiTM FC pada aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi. - Foto BERNAMA

PJ City FC bagaimanapun cemas pada minit ke-12 apabila Zarko Korac hampir memberikan gol pembukaan namun diselamatkan Mohd Muhaimin Mohamad sebelum sepakan percuma Korac empat minit berselang, tersasar.

Gol pembukaan yang dicari akhirnya berpihak kepada PJ City FC selepas hantaran K Barathkumar disudahkan dengan percubaan leret oleh Pedro Henrique untuk menewaskan Muhd Azhar Arif Mohd Sukri pada minit ke-28.

Tamat rehat, Muhd Azhar Arif mengecewakan hasrat PJ City FC untuk meledak gol kedua pada minit ke-51 apabila dia menepis percubaan Washington sebelum percubaan susulan yang dilakukan Pedro gagal menerjah jaring.

PJ City FC sekali lagi terpaksa menunggu untuk mendapatkan gol kedua, kali ini tiang menafikan percubaan Pedro ketika Muhd Azhar Arif sudah tertewas pada minit ke-58.

 

Berita Harian X