Selasa, 20 Ogos 2019 | 11:44pm
PEMAIN Kedah, Muhammad Farhan Roslan (kanan) diasak pemain PKNS FC, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam
PEMAIN Kedah, Edgar Bernhardt (kanan) diasak pemain PKNS FC, Akram pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kedah bangkit di Darul Aman

 

ALOR SETAR: Peluang Kedah untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia kembali cerah selepas menewaskan PKNS FC 3-2 pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Walaupun ketinggalan dua kali, dua gol jaringan Jonatan Bauman serta Aliff Yusof kembali membangkitkan semangat penyokong yang mengharapkan kemenangan selepas gagal mengutip mata penuh dalam dua perlawanan ketika menentang Terengganu FC dan PKNS FC sebelum ini. 

Di awal babak  perlawanan, Kedah memberi asakan pantas ke kubu PKNS menerusi percubaan leret Baddrol Bakhtiar pada minit ke-11 yang terus ke dakapan penjaga gawang PKNS FC, Tauffik Ar Rashid. 

Baddrol yang mendapat hantaran Edgar Bernhardt pada minit ke-17 hampir-hampir membolosi gawang PKNS apabila melakukan  tandukan namun sedikit melencong keluar. 


PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) beraksi menentang PKNS FC pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam

PKNS bangkit dengan percubaan Kpah Sherman pada minit ke-28 namun ditepis keluar penjaga gol tuan rumah.

Selang dua minit kemudian, PNKS mengejutkan Kedah apabila pemain tengah, Romel Morales melakukan percubaan luar kotak penati yang menewaskan Ifwat Akmal.

Bermula babak kedua, Kedah kembali ceria apabila Bauman menjaringkan gol penyamaan selepas menolak bola hasil sepakan percuma Bernhardt pada minit ke-49.

Serangan bertali arus Kedah gagal menambah gol dan kesempatan itu diambil PKNS FC pada minit ke-69 untuk menambah gol kedua menerusi tandukan Nicholas Swirad yang berpunca dari sepakan penjuru Akram Mahinan.

Kedah boleh menarik nafas lega apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78 hasil tandukan Bauman yang mendapat  umpanan Baddrol. 

Di hujung babak kedua Kedah melenyapkan impian tiga mata PKNS apabila menambah gol ketiga menerusi sepakan deras Aliff hasil tolakan Bauman untuk memastikan tiga mata milik skuad Lang Merah. 


PEMAIN Import Kedah, Renan Da Silva Alves (kanan) beraksi menentang PKNS FC pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X