Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:25pm
PEMAIN Selangor, Mohd Faiz Mohd Nasir (kiri) diasak pemain PDRM, Muhammad Fauzan Mohd Fauzi pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat sebentar tadi. - Foto Rasul Azli Samad

The Cops ikat Red Giants

MELAKA: Misi meraih mata maksimum gagal diraih Selangor selepas sekadar terikat 2-2 berdepan PDRM pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Keputusan mengejut itu memberi tamparan hebat buat The Red Giants untuk layak lebih awal ke suku akhir daripada Kumpulan D.

Tuan rumah yang tampil berbeza berbanding ketika seri 1-1 berdepan lawan sama di Shah Alam minggu lalu nyata beraksi lebih kemas, malah mencuba lebih awal menerusi Uche Agba pada minit keenam namun ditepis keluar penjaga gol Khairul Azhan Mohd Khalid.

Selang seminit selepas itu Argzim Redzovic mencuba namun tinggi melepasi palang gol diikuti percubaan R Gopinathan pada minit ke-15 diselamatkan Khairul Azhan.


PEMAIN PDRM, Mohd Safiee Ahmad (kiri) cuba menghalang rembatan pemain Selangor, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (tengah) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat sebentar tadi. - Foto Rasul Azli Samad

Peluang terbaik pelawat meledak jaringan hadir pada minit kesembilan tetapi rembatan bekas penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen Zamri sekadar menggegar tiang kanan skuad tuan rumah.

Agba yang memiliki peluang dalam kotak penalti pada minit ke-28 selepas mengatasi dua pertahanan The Red Giants, melepaskan rembatan kaki kiri bagi menghadiahkan jaringan pertama The Cops.

Babak kedua menyaksikan anak buah B Sathianthan gigih mencari jaringan penyamaan namun percubaan Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-55 dan Khyril pada minit ke-67 diselamatkan Shahril Saa'ri.

Akhirnya kapten pasukan, Taylor Regan menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-69 selepas mengutip hantaran  Ifedayo Olusegun.

Ifedayo turut memberi nafas kepada skuadnya untuk meraih kemenangan selepas menolak masuk gol kedua pada minit ke-80 namun pemain gantian The Cops, Lee Chang Hoon menyamakan kedudukan pada minit ke-87 untuk kedua pasukan berkongsi satu mata.


PEMAIN Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (kiri) diasak Pemain PDRM, Muhammad Fauzan Mohd Fauzi pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat sebentar tadi. - Foto Rasul Azli Samad

943 dibaca
Berita Harian X