Jumaat, 23 Ogos 2019 | 7:39am
Pemain Torino, Gleison Bremer (dua dari kanan) jaringkan gol sendiri dalam perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Olimpico, di Turin, Itali. - Foto EPA

Wolves hampiri Liga Europa

PARIS: Wolves menghampiri peringkat kumpulan Liga Europa selepas kemenangan 3-2 pada playoff pertama di Torino.

Skuad Liga Perdana Inggeris itu, bermain dalam kempen Eropah pertama sejak tahun 1981, mendahului permainan hasil jaringan sendiri Gleison Bremer sejurus sebelum rehat.

Diogo Jota menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60 tetapi Lorenzo de Silvestri merapatkan kedudukan buat tuan rumah dua minit kemudian.

Raul Jimenez kembali melebarkan jurang kepada dua gol untuk Wolves pada minit ke-72 sebelum penalti Andrea Belotti di saat-saat akhir permainan kembali menghidupkan peluang buat skuad Serie A itu menjelang aksi timbal balik di Molineux Khamis ini.

“Pertemuan yang sengit. Ia belum berakhir, jauh daripada berakhir. Kami perlu berdepan pasukan yang amat kuat,” kata pengendali Wolves Nuno Espirito Santo.

“Kami bermain baik. Kami cukup tersusun dan mengekalkan rentak. Kami menghasilkan gol tetapi seperti saya katakan, masih ada satu perlawanan.”

Celtic, tersingkir daripada Liga Juara-Juara minggu lalu di Cluj dari Romania, menewaskan kelab Sweden, AIK 2-0 di laman sendiri.

James Forest menjaringkan gol di awal babak kedua dengan Odsonne Edouard menambah jaringan pada minit ke-73.

Pesaing dari Glasgow, Rangers seri 0-0 menentang Legia Warsaw.

Kelab Belanda, Feyenoord dan PSV Eindhoven masing-masing mencatat kemenangan 3-0 ke atas Hapoel Beer-Sheva dan Apollon. – AFP

1794 dibaca
Berita Harian X